JOHOR BAHRU: Kerajaan sedang mengkaji penggunaan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) sebagai alternatif kepada peranti SmartTag bagi melancarkan aliran trafik di plaza tol di negara ini. Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, berkata usaha itu antara beberapa langkah yang diteliti kerajaan bagi memberi kemudahan lebih baik kepada pengguna lebuh raya pada masa akan datang.
Katanya, RFID yang berbentuk pelekat dengan cetakan kod bar dan dilekat pada cermin hadapan kenderaan adalah lebih murah dan mampu dimiliki oleh semua pengguna berbanding SmartTag.
Kerajaan boleh menguatkuasakan penggunaan RFID ini namun penggunaannya perlu diterima semua pihak berkepentingan termasuk pemegang konsesi lebuh raya, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Lebuh Raya dan Pameran Antarabangsa PSKLM 2013 anjuran Persatuan Syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (SPKLM), di sini, hari ini.
Katanya, teknologi itu sedang diuji oleh PLUS Espressway Berhad di Plaza Tol Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. Mengulas isu lain, Fadillah berkata kerajaan akan menambah baik semua jalan yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan.
Namun tegas beliau, keadaan jalan bukan penyebab utama nahas jalan raya sebaliknya kajian menunjukkan 60 peratus kemalangan berpunca daripada kesilapan manusia selain tahap keselamatan kenderaan itu sendiri.
Persidangan tiga hari yang bermula hari ini dihadiri oleh 500 peserta yang mewakili syarikat konsesi, jurutera, kontraktor, perunding dan pihak perbankan dari seluruh dunia.
Sebanyak 28 sesi pembentangan, dialog dan bengkel diatur meliputi pelbagai topik termasuk aspek keselamatan jalan raya serta teknologi hijau dan alam sekitar.
- BERNAMA
SUMBER : FORUM CARI
No comments:
Post a Comment